Kata Aluan Pengerusi

KATA ALUAN PENGERUSI

PERKIM Bahagian Negeri Kedah telah ditubuhkan pada tahun 1967 dengan dipengerusikan oleh Almarhum Tun Datuk Seri Utama Syed Ahmad bin Syed Mahmud Shahabudin Al Haj yang pada ketika itu menjawat jawatan Menteri Besar Kedah. Perlembagaan PERKIM telah menggariskan 4 bidang utama tujuan PERKIM diwujudkan iaitu Dakwah, Pelajaran, Kebajikan dan Kerjasama dalam Bidang Agama.

Bagi PERKIM Bahagian Negeri Kedah pula selain daripada peranan didalam bidang utama seperti yang disebutkan diatas PERKIM Bahagian Negeri Kedah juga terlibat di dalam program memelihara anak-anak yatim seperti yang dihasratkan oleh Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj Pengasas PERKIM. Asrama Anak Yatim PERKIM Negeri Kedah telah mula beroperasi di Asrama Darul Aitam Walmasakin Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj atau ringkasnya DATAR pada 28 Januari 1993 dengan pengambilan seramai 27 orang anak-anak yatim di Negeri Kedah. Kelayakan masuk ialah samaada anak-anak ini kematian bapa, ibu ataupun kedua-duanya sekali dan mereka pula dari kalangan keluarga daif dan miskin serta termasuk di dalam asnaf penerima zakat. Pada akhir tahun 2010 pula PERKIM mula mengambil seramai 22 orang anak yatim perempuan dan ditempatkan di Asrama Darul Aitam Walmasakin Sultanah Haminah yang dibina diatas tanah wakaf Majlis Agama Islam Negeri Kedah dengan peruntukan daripada Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAUHAR) Jabatan Perdana Menteri Malaysia dengan kos sebanyak RM 2 juta.

Setiap tahun PERKIM Kebangsaan ada menyalurkan bantuan kewangan kepada PERKIM Bahagian untuk tujuan dakwah bagi seluruh Negeri Kedah termasuk menyediakan 3  orang kakitangan yang gaji mereka ditanggung sepenuhnya oleh PERKIM Kebangsaan. Peruntukan yang diterima cuma disekitar RM 50,000 setahun sahaja. Untuk tujuan melaksanakan aktiviti-aktiviti yang lain termasuk untuk menanggung anak-anak yatim dan kos penyelenggaraan bangunan asrama dan pejabat, PERKIM Bahagian terpaksa mencari sendiri peruntukan dan sumbangan dari orang ramai. Perbelanjaan untuk anak-anak yatim berjumlah dalam 70 orang memerlukan sekitar RM 70,000 sebulan. Ini termasuklah untuk menanggung makanan, pakaian, duit poket, pelajaran, gaji seramai 12 orang warden (6 orang untuk lelaki dan 6 orang untuk perempuan) dan lain-lain.

Sehubungan dengan ini PERKIM Bahagian Negeri Kedah ingin memohon dan merayu bantuan dari masyarakat di seluruh Malaysia agar program pemeliharaan anak-anak yatim ini tidak terjejas oleh kerana kekurangan kewangan dan ianya dapat diteruskan dengan penuh kejayaan. Semoga usaha-usaha PERKIM Bahagian Negeri Kedah untuk mendidik, menjaga dan memelihara anak-anak yatim ini sehingga mereka berjaya di dalam pelajaran dan hidup mereka akan tercapai. Hanya Allah Subhanahu Wataala sahaja yang dapat mengurniakan ganjaran Nya kepada para dermawan yang jujur dan ikhlas. Kepada Allah Subhanahu Wataala sahaja kita berserah dan kepada Nya jugalah kita memohon pertolongan.


Dato’ Mansor Bin Haji Ismail
DSDK.,SDK.,AMN.,AMK.,BCK.,BPL
Pengerusi

PERKIM Bahagian Negeri Kedah